Kalaulah dikurniakan kepada ku walau sehari sahaja hati seperti hati baginda Mustofa Rasulullah sallallahu alaihi wasallam, nescaya aku tak akan tukarkan ia dengan apa-apa pun walau seluruh alam dan isinya.
Hati yang begitu indah, bebas dan bercahaya, setiap hari mulakan hari tanpa benci pada sesiapa, tanpa sangka buruk pada sesiapa, penuh cinta kepada semua manusia dan makhluk Allah, hati yang tiada syirikkan Allah walau sebesar zarah, hati yang tiada sedikit pun kebencian kepada apa-apa pun kecuali yang disyariatkan Allah, hati yang tiada ujub, takabur, sum'ah, riak, hati yang tidak terkesan dengan najis dunia, hati yang tenang tenteram, tidak gembira bila dipuji, tidak marah bila dicela, hati yang bersih dari dendam, hati yang penuh cinta pada ummah walaupun kepada orang kafir apatah lagi sesama Islam, hati yang begitu jernih hingga tidak ada kekotoran sikit pun, penuh sabar dan tidak pernah merungut, tidak pernah kecewa dengan Allah , tidak pernah sangka buruk pada Allah , tawakal yang tak pernah putus, zikir yang tak pernah henti, risau pada umat yang tak bertepi...
Hati yang tak dapat digambarkan walau dengan sejuta kata.
Malangnya umat islam ada Nabi yang begitu hebat hati dan akhlaknya, tapi yang mengaku sebagai "pengikut" tidak pula mau mengikutinya.
Hari -hari bangun tidur dengan penuh kebencian dan dendam, penuh dengan riak dan takabur, setiap hari sibuk dengan pandangan manusia , sibuk nak buat manusia "impress", penuh dengan kepanasan dan tidak tahan sabar, selalu merungut walaupun melimpah-limpah nikmat yang tak terhingga Allah limpahkan tapi masih merungut dan tamak dan beranggapan dialah paling Malang di dunia apabila diuji sedikiiittt sahaja oleh Allah . Setiap hari mencari salah manusia untuk dikritik dan dibetulkan seolah-olah kita lah manusia paling sempurna. Setiap hari mencari pujian , gembira melangit bila dipuji dan mengamuk bila dikritik, setiap hari merasa diri suci, hebat hingga setiap yang menegur buatkan kita rasa marah kerana kita beriman yang kita ini suci, aku suci, aku baik, aku hebat, kenapa tegur aku? Kenapa kritik aku?
Ya Allah, begitu hodoh dan kotornya hati kami.....
Bagaimana mungkin kami dapat berkumpul dengan insan-insan berhati mutmainnah di akhirat nanti?
Kerinduan ini tidak dapat ditahan lagi wahai baginda penyejuk mata Sayyid kepada jin dan manusia.
Azam dan muhasabah untuk perbaiki akhlak agar dapat bersama baginda nabi sallallahu alaihi wasallam di syurga , aminnnn.
No comments:
Post a Comment