PERINGATAN BULAN REJAB!
1- Hentikan menyebar sms, emel, whatsapp berkaitan catatan amal akan ditukar pada 1 Rejab dan sebagainya. Ia termasuk pendustaan ke atas nabi sallallahu 'alaihi wasallam. Ia merupakan dosa besar.
2- Tidak wujud sebarang puasa khas atau solat khas sempena bulan Rejab.
PUASA BULAN REJAB: SUNNAH ATAU BID'AH?
حَدَّثَنَا عُثْمَانُ بْنُ حَكِيمٍ الْأَنْصَارِيُّ قَالَ: سَأَلْتُ سَعِيدَ بْنَ جُبَيْرٍ عَنْ صَوْمِ رَجَبٍ وَنَحْنُ يَوْمَئِذٍ فِي رَجَبٍ فَقَالَ سَمِعْتُ ابْنَ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا يَقُولُ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ حَتَّى نَقُولَ لَا يُفْطِرُ وَيُفْطِرُ حَتَّى نَقُولَ لَا يَصُومُ
Uthman bin Hakim al-Ansori radiallahu ‘anhu berkata: Aku telah bertanya kepada Sa’id bin Jubair tentang puasa dalam bulan Rejab. Ketika itu kami berada dalam bulan Rejab. Sa’id bin Jubair pun menjawab: Aku mendengar Ibn ‘Abbas radiallahu ‘anhuma berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam berpuasa sehingga kami berkata beliau tidak berbuka. Baginda berbuka sehingga kami berkata baginda tidak berpuasa. [Sahih Muslim, Kitab al-Siyam, hadis no: 1157]
Imam an-Nawawi dalam Syarahnya menyatakan bahawa puasa di atas merujuk kepada puasa bulan-bulan Haram (Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab).
Di sini, kita perlu jelas di mana bid'ahnya, dan di mana sunnahnya sebagaimana pendapat majoriti ulama yang menggalakkan puasa Rejab.
1- Ia sunnah kerana bulan Rejab termasuk bulan-bulan Haram dan berdasarkan hadis di atas. Maka digalakkan berpuasa dan banyakkan amalan soleh yang lain yang memang sudah sedia ada dalam sunnah.
2- Ia menjadi bid'ah apabila landasan atau asas amalan itu ialah hadis-hadis yang tidak sahih, di mana ada yang menyebutkan puasa yang khusus untuk hari-hari tertentu dalam bulan Rejab, fadhilat-fadhilat tertentu, atau ibadah-ibadah tertentu yang dikhususkan pada malam atau siang Rejab tanpa dalil yang sahih.
3- Penyebaran hadis palsu adalah satu maksiat. Dan ramai ulama menyatakan dosa maksiat dalam bulan-bulan Haram lebih berat daripada bulan-bulan lain.
Jangan cemari amalan sunnah dengan tokok tambah dan penyebaran hadis-hadis tidak sahih.
Wallahua'lam.
Selamat beramal dengan sunnah, dan meninggalkan bid'ah!
#repost
No comments:
Post a Comment